Sunday, October 31, 2010

Seni Suara


SENI SUARA

Menurut pandangan Islam, seni suara dibahagikan kepada 2 kriteria iaitu seni suara yang baik dan seni suara yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan suara yang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan lagu-lagu jihad, berzikir, mendendangkan nyanyian hari-hari raya, menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali kepada para jemaah haji, berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget dan tarian yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan budi pekerti muda mudi serta melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah.

 BACAAN AL-QURAN

Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera yang amat indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu, membaca al-Quran diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam. Kita dituntut oleh syariat Islam supaya membaca al-Quran mengikut tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan dengan cara berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan mungkin akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf al-Quran dan dianggap suatu bida’ah pula.

Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya, Kaff al-Ri’a’ al Muharramat al-Sama’, kesengajaan membaca al-Quran secara berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk memperelokkan dan memperhiaskannya adalah fasiq. Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan berlagu yang buruk serta banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak para ulama’. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah setiap orang yang mukallaf hendaklah mengingkarinya seupaya yang mungkin.



 NYANYIAN DAN SENI MUZIK
Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di
samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia. Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.

No comments:

Post a Comment