Sunday, October 31, 2010

Seni Rupa dalam Islam

SENI RUPA
Secara umumnya para ulama’ membahagikan seni rupa kepada 2 iaitu:
a) Seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan hasilnya dinamakan patung
b) Seni rupa yang tidak mempunyai imej mahupun bentuk dan hasilnya dinamakan gambar atau lukisan

PATUNG
• Islam mengharamkan patung di dalam rumah yang dijadikan perhiasan dan sebagainya kerana malaikat rahmat akan menjauhi rumah tersebut
• Jika si pembuat patung tersebut mengetahui bahawa patung itu akan disembah maka dia adalah seorang kafir
• Jika si pembuat patung itu tidak sengaja dan tidak mengetahui bahawa patung itu akan disembah, maka dia berdosa sahaja dengan perbuatannya itu
• Terdapat hadith yang menyatakan bahawa si pembuat patung akan dipaksa memberi nyawa kepada patungnya. Dia akan diseksa selama mana ia tidak dapat memberikan nyawanya kepada patung tersebut.

PATUNG CACAT
• Segolongan ulama’ berpendapat bahawa Islam tidak mengharamkan patung yang tidak sempurna atau yang cacat kerana ia tidak dapat disembah kerana tidak lengkap anggotanya
• Bahkan membuat patung cacat, hukumnya mubah
• Tetapi, patung separuh badan yang dibina bagi mengagungkan pemimpin-pemimpin tertentu, pengharamannya lebih tegas daripada patung kecil yang lengkap anggotanya yang hanya sekadar menjadi hiasan rumah

PATUNG PERMAINAN KANAK-KANAK
• Tidak terdapat larangan khusus mengenainya dalam Islam kerana ia sekadar lukisan atau ukiran untuk hiburan kanak-kanak bukan bermaksud untuk disembah
• Menurut Imam al-Syawkani, anak-anak kecil boleh bermain dengan boneka (patung)
• Tetapi Imam Malik melarang lelaki membelikan boneka kepada anak perempuannya
• Qadi ‘Iyad pula membolehkan anak-anak kecil perempuan bermain-main dengan boneka kerana rukhsah

LUKISAN
• Jika lukisan seni berbentuk sesuatu yang disembah melainkan Allah seperti gambar Nabi Isa A.S atau al-Masih bagi orang-orang Kristian atau lembu bagi orang-orang Hindu dan sebagainya, maka pelukisnya tidak lepas daripada azab Allah
• Orang yang melukis sesuatu yang tidak dapat disembah tetapi dengan niat untuk menandingi ciptaan Allah, pelukis itu bukan saja terkena ancaman sebagai orang yang “paling berat seksaannya pada hari kiamat” malah dia juga terkeluar dari agama Islam

FILEM (WAYANG GAMBAR)
• Filem Islam ialah filem yang menemukan kefahaman-kefahaman Islam dengan Allah, alam semesta, kehidupan dan manusia sebagai pertemuan yang menyeluruh dan sebahagiannya yang hanya terhad kepada sifat-sifat keIslamannya
• Mengenai panggung wayang, Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi menjelaskan
- Kadarnya harus munasabah dengan masyarakat yang menggalakkan keprihatinan bukan
masyarakat yang lalai dan leka
- Panggung wayang janganlah menjadi tempat mengobarkan syahwat, merosak komitmen terhadap
nilai-nilai unggul, menghakis akhlak belia atau meracuni akal mereka dengan idea-idea asing yang
bertentangan dengan aqidah dan pegangan ummah
- Waktu-waktu tayangan hendaklah tidak bercanggah dengan waktu sembahyang
- Panggung wayang tidak boleh menjadi tempat atau sarang untuk muda mudi memadu kasih secara
haram serta berleluasa menginjak batasan syarak
- Janganlah panggung menjadi institusi yang membolot harta rakyat kerana dimonopoli oleh
sesetengah pihak dan mereka menjual tiket-tiket dengan harga yang mahal tanpa ada pengawasan
daripada pihak bertanggungjawab

Buah Fikiran (B)


e) Pandangan Dr.Yusuf al-Qaradawi
- Membuktikan mengenai hukum seni muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi boleh berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan beberapa syarat iaitu :
Bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyian-nyanyian yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan fasiq adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam melaknat para pelaku kezaliman dan para pengampunya.
Cara persembahannya juga mesti diambilkira. Kadangkala tajuk lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram, syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tema-tema
cinta berahi.
Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa batas dan had.
Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur yang berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak akal, rohani dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama.
Sekiranya terdapat unsur nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah maka menjadi kewajipan ke atas pendengar untuk menjauhinya, menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara dirinya dan agama.

f) Fatwa Sheikh Mahmud Shaltut
- Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama hukumnya dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui. Semuanya memberi kesan untuk menenangkan fikiran apabila jasmani penat dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga.
- Al-Quran yang mendasari segala peraturan dan perundangan yang begitu sempurna adalah bertujuan untuk menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan di pihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang
menggunakan muzik secara berlebihan. Apatah lagi Islam menuntut kepada kesederhanaan.
- Fuqaha’ terdahulu telah membenarkan penggunaan seni muzik apabila mempunyai tujuan yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, haji, perkahwinan dan hari kebesaran Islam. Mengikut fuqaha’ Hanafi, muzik yang dilarang ialah sekiranya bercampur dengan majlis yang terdapat arak, penyanyi perempuan yang mengghairahkan, unsur-unsur fasiq, perzinaan dan berhala.
- Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah



Nyanyian dan Muzik mainan syaitan?


SENI suara adalah di antara rekreasi digemari dan berkembang pesat di Malaysia. Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara tersendiri. Umumnya, seni suara untuk mendapat hiburan dan keseronokan. Al-Quran juga menerangkan mengenai bidang seni suara.
Contohnya, firman Allah dalam surah Lukman, ayat ke 6, bermaksud:
"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina."

Kebanyakan ulama tafsir berpendapat bahawa 'laghwa al-hadith' ialah nyanyian. Dan seterusnya Allah berfirman dalam surah al-Isra', ayat 64, bermaksud:
"Pujuklah (wahai iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (sawtika)."

Mujahid menjelaskan ajakanmu (sawtika) dalam ayat ialah nyanyian dan serunai. Seterusnya dalam surah Syu'ara ayat 224 - 227, Allah berfirman, bermaksud :
"Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidaklah kamu perhatikan mereka merayau-rayau di tiap-tiap lembah dan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan kecuali orang yang beriman dan beramal salih, banyak mengingati Allah serta mereka membela diri selepas dizalimi. Dan orang yang zalim akan mengetahui ke tempat mereka akan kembali."

Apa yang dapat difahamkan dalam ayat di atas bahawa Allah mengutuk nyanyian yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama-Nya. Begitu juga syaitan menggunakan media nyanyian dan muzik untuk melalaikan manusia daripada tanggungjawabnya terhadap agama Allah.

Seterusnya Allah mengecam penyair tidak beriman dan menjalankan kegiatan hidupnya tanpa matlamat, berusaha menyesatkan orang ramai dan mencari pengaruh dengan menggunakan syairnya. Tetapi penyair beriman dan beramal salih serta sentiasa menjalankan tanggungjawab agama dengan baik, tidak termasuk dalam golongan yang dikutuk oleh Allah.

Ini kerana syair mereka mengajak orang ramai kepada kebaikan. Selain itu, ada hadis yang menerangkan kedudukan seni suara.
Contohnya, Termizi meriwayatkan daripada Aisyah, katanya Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana."

Sejarah Islam juga menceritakan bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila berada dalam peperangan. Daripada hadis dan sejarah di atas jelaslah bahawa nyanyian dan bunyian boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran tertentu serta peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan sunat. Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.

Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh Al-Azhar berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka
ia diharuskan.

Apabila membincangkan mengenai seni suara perkara seperti susunan kata yang haram; kedudukan penyanyi perempuan; masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan orang; majlis yang disertai minuman haram; percampuran lelaki dan perempuan dan kesan nyanyian kepada pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Begitu juga syarat lain yang perlu dipenuhi seperti niat; tiada unsur yang bercanggah dengan akidah seperti syirik, kufur dan nifak; tidak bercanggah dengan syariat Islam seperti haram dan syubahat.Tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardukan oleh Allah.

 Menutup aurat, sentiasa menjaga adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk takarub dan mencapai keredaan Allah. Menjalin hubungan sesama manusia dan mesra alam.

Sewajarnya tidak menjadi kesalahan jika keinginan menyemarakkan Islam mengambil kira dan memastikan segala bidang hidup dihiasi dengan unsur Islam, termasuk seni suara dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya.

Buah Fikiran (A)


Pandangan Ulama Terhadap Seni Suara

a) Pandangan Imam al-Ghazali
- tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang melarang penggunaan alat-alat muzik
- sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang
- seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam keadaan yang bersekongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan dan perbuatan dosa yang lain
- mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram
- Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada 7 jenis iaitu :
Lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah  
   dan Madinah
Lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang mempertahankan aqidah dan negara
Lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian yang pantang mengalah di saat-saat
   genting
Lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedihan yang positif. Mengingatkan
   diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.
Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan
   menikmati kenangannya selama yang mungkin
Lagu bercorak ghazal yang sopan : memperihalkan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk
   bertemu dan pertautan yang lebih erat di masa yang akan dating
Lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya


b) Pandangan Imam Shafi’i
- Menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di dalam kitabnya, Adab al-Qada’
- Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus dalam apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat tertutup, samada wanita yang merdeka atau hamba
- Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Memakruhkan penggunaan seruling kerana menurutnya itu adalah perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar al-Quran

c) Pandangan Imam Malik
- Melarang mendengar nyanyian
- Menyatakan bahawa barangsiapa ingin membeli seorang abdi wanita dan diketahuinya wanita tersebut seorang penyanyi, maka janganlah dibeli wanita tersebut

d) Pandangan Ibn Taimiyyah
- Membezakan antara mendengar nyanyian dan muzik yang bermanfaat pada agama dan antara apa yang diberi pengecualian untuk mengelakkan dosa, dan antara pendengaran muqarrabin dan pendengaran orang-orang biasa
- Diharuskan mereka mendengar apa yang disyariatkan kepada para hamba Allah iaitu mendengar ayat-ayat Allah : dapat membaiki hati dan menyucikan jiwa

Seni Suara


SENI SUARA

Menurut pandangan Islam, seni suara dibahagikan kepada 2 kriteria iaitu seni suara yang baik dan seni suara yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan suara yang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan lagu-lagu jihad, berzikir, mendendangkan nyanyian hari-hari raya, menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali kepada para jemaah haji, berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget dan tarian yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan budi pekerti muda mudi serta melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah.

 BACAAN AL-QURAN

Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera yang amat indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu, membaca al-Quran diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam. Kita dituntut oleh syariat Islam supaya membaca al-Quran mengikut tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan dengan cara berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan mungkin akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf al-Quran dan dianggap suatu bida’ah pula.

Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya, Kaff al-Ri’a’ al Muharramat al-Sama’, kesengajaan membaca al-Quran secara berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk memperelokkan dan memperhiaskannya adalah fasiq. Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan berlagu yang buruk serta banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak para ulama’. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah setiap orang yang mukallaf hendaklah mengingkarinya seupaya yang mungkin.



 NYANYIAN DAN SENI MUZIK
Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di
samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia. Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.

Tanggapan Islam Pada Seni

SIKAP ISLAM TERHADAP SENI

Pada dasarnya, sesuatu yang indah itu disukai oleh Allah kerana Dia zat yang Maha Indah dan
menyukai yang indah. Islam mempunyai kriterianya yang tersendiri untuk dijadikan pengukur
pedoman bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Kriteria pertama ialah
seni atau karya seni itu mestilah baik iaitu yang mempunyai cirri-cirinya yang khusus. Antaranya
ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang dari beribadat dan
mengingati Allah. Kriteria penolakan pula ialah seni atau karya seni tersebut buruk iaitu boleh
merosakkan moral, melalaikan diri daripada beribadat kepada Allah dan sekaligus melupakanNya.

JENIS-JENIS SENI
a) Seni suara
b) Seni rupa
c) Seni pakaian
d) Seni sastera

SENI DALAM ISLAM

KONSEP SENI


Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala
yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang
lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta
mempunyai fungsi dan nilai sosial.
Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan
itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran
manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan
dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :
a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia
Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh Allah , ia tidak
bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia dengan seni ciptaan Allah.

 SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI

Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah
berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam
memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah
berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus
berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda
sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang
berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan
syara’.

Papier Mache


Apa itu papier mache?

Sebagaimana buku skrap, tentu anda pernah mendengar tentang teknik ini, atau mungkin pernah membuatnya semasa di sekolah dahulu, dan menganggap ia sebagai hanya salah satu cabang seni untuk membina kreativiti anak-anak. Tahukah anda pelbagai barangan hiasan dan kraf bermutu dan unik boleh dihasilkan dengan teknik papier mache?

Papier mache berasal dari Bahasa Perancis lama yang bermaksud kertas yang dikunyah, menggambarkan bahan yang digunakan untuk kraf ini iaitu kertas yang telah dihancurkan sehingga lumat.

Apakah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat papier mache?

1. Kertas – sebaik-baiknya kertas suratkhabar yang dikoyak dengan tangan menjadi jaluran 1 x 4 inci (secara kasar)
2. Gam pelekat
3. Berus cat
4. Plastik pelapik
5. Cat warna
6. Peralatan yang dikhususkan untuk papier mache dan tidak dijadikan untuk menyediakan makanan bagi mengelak keracunan seperti mangkuk plastik dan blender


Persiapan sebelum memulakan projek

Adalah dinasihatkan untuk anda membuat persiapan berikut sebelum memulakan projek anda:
1. Sediakan bahan-bahan kertas untuk digunakan sama ada tanah liat kertas atau kertas surat khabar yang telah dicarik-carik menjadi jaluran kertas

2. Lindungi permukaan kerja dengan alas surat khabar atau plastik

3. Sediakan sebuah baldi air sabun dan berus untuk membersihkan tangan anda sekiranya anda perlu menjawab telefon atau minum air

4. Bersihkan peralatan dan bahan-bahan yang anda gunakan untuk membuat papier mache semasa masih basah atau lembab kerana apabila ia kering kerja-kerja akan memjadi agak sukar.


Peringatan sebelum memulakan kerja anda

Sebelum memulakan kerja-kerja menampal untuk projek papier mache anda, ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian:
1. Lakukan kerja anda dengan sedikit-sedikit, jangan cuba menyiapkan semua projek anda dengan sekaligus dalam masa 24 jam

2. Lapisan kertas yang sedikit mudah kering, oleh itu anda perlu menambah lapisan apabila lapisan sebelumnya telah kering

3. Membuat terlalu banyak lapisan akan menjadikan kraf anda terlalu basah, lembik dan berat.

4. Jika anda masih baru, biasakan diri anda dengan teknik papier mache sebelum merancang untuk menyiapkan projek anda dalam tempoh yang singkat


Jenis kertas untuk digunakan

Kertas yang berlainan memberikan tekstur dan ketahanan yang berbeza. Pelbagai kertas boleh digunakan termasuk kertas surat khabar, beg kertas dari kedai runcit, kertas majalah, kertas tisu dan kertas napkin. Pilihan utama untuk papier mache jenis tampalan adalah kertas surat khabar.

Membuat papier mache dengan tampalan jaluran kertas adalah lebih kemas jika kertas dikoyakkan dengan tangan berbanding dengan menggunakan gunting atau pisau. Lebar jaluran kertas yang digunakan untuk papier mache berganting kepada saiz projek yang dibuat.

Membuat pelekat untuk papier mache

Terdapat pelbagai cara untuk membuat pelekat papier mache

Teknik 1 : Gam tepung berasaskan air
Cara-caranya:
1. Masukkan ¼ cawan tepung yang diayak ke dalam air sejuk dan dikacau sehingga menjadi likat dan tiada ketulan tepung
2. Masak 5 cawan air di dalam periuk sehingga mendidih, dan campurkan adunan likat tepung tadi.
3. Kacau selama 3 minit sehingga menjadi pekat dan biarkan sehingga sejuk

Untuk mendapat gam yang lebih pekat, gunakan 1 cawan tepung untuk membuat gam.
Bagi mengelakkan kulat, anda boleh campurkan pencegah kulat seperti garam, klorin atau pencuci pinggan untuk memanjangkan jangka hayat gam tersebut

Teknik 2: Gam untuk kertas dinding
Ia memberikan hasil yang lebih tahan lama dan mengelakkan berkulat berbanding dengan pelekat daripada tepung, tetapi kurang sesuai untuk kanak-kanak jika dimasukkan ke dalam mulut mereka.
Ikut arahan pada bekas seperti yang disarankan oleh pengilang untuk mencampurkan air.
Kurangkan air pada bancuhan untuk mendapatkan gam yang lebih pekat.

Teknik 3: Gam PVA
Tambahkan sedikit air kepada gam PVA tersebut untuk menjadikannya gam papier mache


Membentuk kraf papier mache anda
Bahan-bahan untuk membentuk rupa asas
Pelbagai medium boleh digunakan sebagai bentuk asas seperti belon, beg plastik yang disumbat kertas, kotak, jaringan dawai yang dibentuk, botol plastik dan gabus putih styrofoam. Anda hanya perlu menyambungkan bentuk yang pelbagai menggunakan masking tape untuk mendapat bentuk akhir yang anda inginkan sebagai bentuk asas papier mache anda Pilihan medium adalah bergantung kepada bentuk dan kesesuaiannya untuk papier mache anda.
Antara medium yang boleh digunakan sebagai bentuk asas papier mache adalah:

1. Belon
Belon adalam murah dan sesuai digunakan sebagai acuan kerana ia tidak memerlukan bahan pencegah lekat untuk menanggalkan bentuk papier mache tadi kerana ia hanya diletupkan Ia sesuai sekiranya anda ingin membuat bentuk bulat atau bujur kepada papier mache anda.

2. Kotak kadbod.
Ianya boleh dipotong untuk digunakan sebagai bentuk tanbahan kepada bentuk asas, contohnya sebagai telinga atau hidung kepada bentuk muka yang ingin anda hasilkan. Atau juga sebagai tangkai kepada bentuk cawan yang ingin anda hasilkan. Sekiranya anda ingin menjadikan kotak sebagai bentuk asas, anda perlu ambil kira kemungkinan kotak anda akan menjadi lembik dan rebah sekiranya lapisan papier mache yang basah ditampal ke atas kotak kadbod tadi, anda boleh mengukuhan dahulu bentuk kotah tadi, menggunakan kertas yang disumbat kedalamnya atau menambah struktur kayu atau besi di dalamnya sebagai rangka.

3. Gabus polisterin
Disebabkan ianya ringan dan tidak terpengaruh dengan air, gabus polisterin amat sesuai dijadikan bentuk asas. Di samping itu anda boleh ukir bongkah gabus anda untuk mendapatkan bentuk yang anda ingini.

4. Jaringan besi.
Ia terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz, dan anda boleh memilih yang bersesuaian untuk projek anda. Anda juga boleh bentukkan bentuk asas menggunakan kertas atau gabus polisterin dan kemudian membalutkannya dengan jaringan besi (dapatkan jenis yang mudah dilentur) sebelum menampalkan lapisan papier mache untuk mendapatkan struktur yang lebih kuat.

5. Mangkuk dan pinggan
Sekiranya anda ingin menghasilkan pinggan atau mangkuk papier mache, adalah mudah untuk menggunakan bentuk sebenar pinggan atau mangkuk, tetapi anda perlu gunakan bahan pencegah lekat untuk menanggalkan dengan mudah bentuk papier mache anda daripada mangkuk atau pinggan tadi

Agen mencegah lekat
Untuk mengelakkan papier mache anda melekat kepada bentuk yang digunakan, anda boleh gunakan kertas yang dilembabkan (tanpa gam), aluminium foil, plastik atau petroleum jelly pada bentuk yang digunakan sebelum membuat papier mache anda.

Pelbagai teknik papier mache

1. Teknik papier mache tampalan
Cara-cara membuatnya:
a) Sapukan gam pada kedua-dua permukaan jaluran kertas dengan berus

b) Tampalkan jaluran kertas pada objek yang digunakan sebagai bentuk (atau acuan) satu demi satu.
c) Urut dengan jari untuk membuang gelembung udara yang terperangkap di dalam lapisan kertas tadi

d) Susunkan lapisan jaluran kertas dengan bersilang-silang untuk mendapatkan bentuk yang lebih kukuh

e) Buat 2 atau 3 lapisan sahaja dan biarkan kering kerana lapisan yang terlalu tebal akan melambatkan proses pengeringan

f) Apabila telah kering, tambah lapisan lagi dengan cara yang sama sehingga mendapat ketebalan lapisan kertas yang anda inginkan

Sekiranya anda ingin membuat bentuk tambahan pada objek utama seperti tangkai dan pemegang, anda boleh buatkan bentuk asas dapipada kadbod dan ditampal kepada objek utama menggunakan masking tape. Kemudian tampalkan lapisan jaluran kertas sehingga mendapat bentuk yang anda inginkan.

Setelah kering, sapukan 2 lapisan cat emulsion untuk menjadikan papier mache anda kalis air dan mengelakkankan dari kertas suratkhabar anda tadi kelihatan.
Anda boleh gunakan cat primer untuk lapisan asas yang lebih keras sebelum mengecat dengan cat warna pilihan anda.


2. Teknik papier mache tanah liat

Cara-caranya:
a) Rendam kertas suratkhabar yang telah disiat-siatkan ke dalam bekas air semalaman.

b) Toskan dan masukkan dalam air yang sedang mendidih selama lebih kurang 30 minit supaya kertas hancur menjadi fiber.
c) Toskan kertas dan buangkan air tadi.
d) Hancurkan kertas dengan menumbuk atau mengacau supaya pulpa kertas hancur menjadi fiber kertas.

e) Tambahkan gam sehingga menjadi seperti tanah liat.

Pelbagai bahan boleh ditambah untuk mendapatkan tanah liat kertas yang lebih baik seperti kapur, cat latex, habuk kayu atau “drywall joint compound” untuk menjadi sebagai binder dan stabiliser.

Teknik tanah liat papier mache yang lebih kompleks
(Teknik ini tidak sesuai untuk kanak-kanak tanpa bimbingan orang dewasa)

a) Teknik untuk menghasilkan tanah liat kertas seperti barangan tembikar

Anda perlukan:
½ gulung kertas tisu tandas putih dari mutu yang baik
1 sudu besar minyak linseed
2 sudu besar gam penampal kertas dinding (wallpaper paste)
4 sudu besar gam PVA (gam berwarna putih)
1 sudu besar klorin (bleach)

Siat-siatkan kertas tisu dan campurkan dengan bahan-bahan yang lain.

b) Teknik untuk tanah liat kertas yang lebih kuat (hard mache)

Anda perlukan
- Kertas surat khabar
- Air
- Habuk kayu (sama sukatan dengan kertas)
- 2 cawan gam PVA
- Kapur (separuh sukatan kertas tadi) sebagai filler
- 2 sudu besar minyak linseed* untuk menambahkan ketahanan
- Gam pelekat kertas dinding
- 1 sudu besar klorin (bleach) untuk mencegah kulat
*Anda juga boleh sapukan minyak linseed apabila tanah liat telah kering.

Cara-cara membuatnya:
(i) Koyakkan kertas suratkhabar dengan tangan dengan saiz lebih kurang 1-2 inci persegi

(ii) Isikan kertas ke dalam periuk dan penuhkan dengan air sehingga lebih kurang dua inci dari paras atas periuk (mengelakkan air melimpah bila menggelegak) dan panaskan sehingga 3 jam.
(iii) Gunakan alat gerudi (drill) yang disambungkan dengan alat pembancuh kuih (dikhaskan untuk papier mache dan tidak digunakan untuk membuat kuih)
(iv) Toskan air menggunakan jaringan halus atau kain apabila air sudah sejuk


Dapatkan grinder yang dikhaskan untuk papier mache (jangan campurkan dengan alat untuk membuat bahan makanan anda). Hancurkan sedikit demi sedikit kertas yang telah anda hancurkan tadi. Simpankan kertas yang telah dilumatkan tadi ke dalam beg plastik dan simpan sehingga anda ingin menggunakannya

Apabila anda ingin membuat tanah liat kertas tadi, campurkan dengan bahan-bahan lain.
Campuran tersebut agak liat untuk dikacau, jadi anda perlukan tenaga yang lebih untuk mengacau



Membuat papier mache yang kalis air
Anda boleh gunakan pelbagai produk seperti urethane, varnish, shellac untuk menjadikan papier mache anda kalis air. Anda perlu baca arahan pada bekas produk tentang cara menggunakannya kerana sesetengah produk mengeluarkan bau dan wap yang boleh membahayakan. Untuk mendapatkan hasil papier mache yang tahan cuaca (contohnya untuk diletakkan di laman anda), anda boleh gunakan marine varnish yang digunalkan untuk disapu pada bot.
Anda boleh dapatkan hasil kajian Jackie Hall dalam artikelnya “Waterproofing Papier Mache” dalam usaha beliau mendapatkan papier mache yang kalis air dan sesuai untuk ruangan luar yang terbuka.




Mewarnakan papier mache

Cara yang paling popular untuk mewarnakan papier mache adalah cat acrylic kerana impak warna dan ketahanannya.

Sekiranya anda menggunakan cat air seperti cat poster, anda perlu gunakan varnish yang tidak berasaskan air kerana cat anda akan menjadi comot.

Sebelum menggunakan cat anda perlu sapu lapisan pelindung (seal) pada papier mache anda bagi mengelakkan cat meresap ke dalam lapisan papier mache anda.
Sekiranya anda menggunakan kertas surat khabar, adalah baik untuk menggunakan kertas putih sebahai lapisan akhir papier mache anda, atau anda sapukan primer putih sebelum mula mengecat papier mache anda.

Seni grafik

Seni grafik  merupakan salah satu cabang dalam seni visual.  Rekaan Grafik ditakrifkan sebagai "seni atau profesion komunikasi visual yang menggabungkan gambar, perkataan, dan idea-idea untuk menyampaikan maklumat kepada audiens." Seorang pereka grafik bertanggung jawab untuk mengatur dan menggunakan elemen pada jenis media yang berbeza (seperti poster, sebuah pakej atau website), kemungkinan besar dengan menggunakan program perisian grafik seperti Adobe Illustrator, Photoshop atau InDesign. Unsur-unsur ini meliputi foto, ilustrasi, jenis dan bentuk.
Istilah graphic design dapat merujuk kepada beberapa disiplin artistik dan profesional yang bertumpu pada komunikasi visual dan persembahan. Pelbagai kaedah yang digunakan untuk membuat dan menggabungkan simbol, gambar atau kata-kata untuk membuat representasi visual dari idea dan mesej. Seorang pereka grafik boleh menggunakan tipografi dan seni visual.
kegunaan rekaan grafik termasuk majalah, iklan dan bungkusan produk. Sebagai contoh, sebuah pakej produk mungkin merangkumi sebuah logo atau karya seni lain, kepelbagaian teks dan elemen rekaan polos seperti bentuk dan warna yang menyatukan potongan. Komposisi adalah salah satu ciri yang paling penting dari rekaan grafik terutama bila menggunakan bahan yang sudah ada sebelumnya atau unsur-unsur pelbagai.

ESTETIKA

Estetika

Seni visual juga difahami sebagai sesuatu yang mempunyai nilai estetik. Menurut Herbert Read, seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik. Kesenangan estetik adalah kesenangan dan keceriaan kepada pihak yang menerima mesej. Menurut Syed Ahmad Jamal estetika berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek kegunaannya.


Pengkarya/Pelukis/Pandai Tukang


Setiap hasil seni visual atau produk seni ada agen yang mewujudkannya. Agen itu dikenali sebagai pengkarya, pelukis atau pandai tukang. Tanpa agen ini tiada produk seni.


Asas Seni Reka


Asas seni reka merangkumi aspek elemen dan prinsip rekaan dalam seni tampak. Asas-asas ini mendukung kewujudan produk seni visual itu. Aspek ini juga dikenali sebagai sebahagian daripada bentuk atau form dalam bahasa seni tampak. Produk seni seperti catan umpamanya perlu dihasilkan mengikut peraturan seni reka contohnya ada aturan ruang, imbangan, kontra dan sebagainya. Karya seni yang tidak menggunakan asas seni reka dianggap kurang bermutu. Hasil seni tradisi seperti ukiran juga mementingkan asas rekaanya sendiri.

Asas seni reka ada dua komponen utama iaitu ELEMEN/UNSUR dan PRINSIP. Elemen rekaan termasuklah garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan, dan warna. Prinsip rekaan pula meliputi harmoni, kepelbagaian, kontra, penegasan, imbangan, pergerakan/irama/rentak/pengulangan, kesatuan dan ekonomi. Elemen dan prinsip ini perlu diadun dengan baik oleh seseorang pelukis dalam menghasilkan sesebuah karya seni visual.

PENGENALAN SENI VISUAL



A) PENGERTIAN SENI VISUAL
Menurut kamus dewan seni membawa maksud Halus iaitu kecil, elok, tipis dan halus, enak di dengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan manakala .

seni,II: membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan dan hasil daripada sesuatu ciptaan. Visual pula dari segi bahasa bermaksud tampak iaitu yang boleh dilihat melalui deria penglihatan. Terdapat juga istilah seni rupa, seni halus, seni lukis dan seni reka.

Dalam Ensiklopedia Malaysiana (1996 ) ialah satu istilah yang digunakan bagi sesuatu yang indah-indah pada pandangan pacaindera manusia samada melalui penglihatan atau pendengaran.

Menurut buku Fine art in Islamic civilization (1981),pemikir islam iaitu imam Al- Ghazali memperkatakan bahawa seni itu indah melalui pandangan kecantikan dan keindahan.

Oleh itu penjelasan konsep seni visual bolehlah didasarkan kepada beberapa aspek pernyataan diri ( self expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh samada dalam bentuk 2D dan 3D.

B) PENGKELASAN SENI VISUAL

Seni visual boleh dibahagikan kepada dua jenis penghasilan iaitu pengkaryaan dan perekaan.

I) Pengkaryaan
Ialah penghasilan seni halus dalam bentuk 2D dan 3D. Kebanyakan bahan-bahan yang terhasil menggunakan media dan teknik konvensional iaitu alatan dan media asas dan kurang mengunakan bantuan teknologi. Contoh pengkaryaan ialah Lukisan, catan, seni cetak dan arca.




II) Perekaan
Ialah penghasilan 2D dan 3D yang lebih banyak menggunakan teknik dan media baru berteraskan teknologi. Contoh perekaan ialah grafik dan multimedia ( komunikasi visual), reka bentuk teknologi seperti rekaan industeri ( automobil, logam halus, tekstil dll ) dan reka bentuk persekitaran seperti seni hiasan dalaman & seni lanskap.


C) PERANAN SENI VISUAL

Peranan yang dimainkan oleh seni visual boleh dilihat dari dua aspek yang utama iaitu psikologi dan sosiologi.



I) Peranan psikologi Peranan psikologi dilihat dari segi perkembangan dan pembentukan diri individu berdasarkan kepada perkembangan sensitiviti, emosi, kreativiti, dan ekspresi yang berlaku dalam diri individu melalui aktiviti seni visual.

Sensitiviti pula merupakan kepekaan dan kebolehan membuat pertimbangan dan persepsi dari segi sosial serta estetik. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan kepekaan,sensibility ( kebolehan untuk merasa dan menghayati)

Emosi ialah keupayaan melahirkan idea, rasa hati,membuat pertimbangan dan pernyataan diri. . Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat membangkitkan perasaan dan memantapkan sensibility, mencorak perlakuan perasaan yang semulajadi seperti rasa cinta atau rasa takut.

kreativiti, boleh dilihat dari diri individu yang mempunyai daya kreatif. Individu ini berupaya mengubah dan mentafsir semula sesuatu benda yang ada kepada penghasilan yang lebih menarik.Individu ini sensitif kepada masalah di sekelilingnya, yang kemudiannya bertindak mencari jalan keluar dalam bentuk penghasilan. Penghasilannya yang dilakukannya adalah melalui daya kreatifnya berdasarkan keupayaan dan kehendaknya untuk mengubah sesuatu keadaan supaya lebih sempurna. Individu ini juga berupaya bertindak berdasarkan kebolehannya menyesuaikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lebih baik. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan keupayaanmembuat dan merekacipta, menjadikan individu lebih imaginatif dalam pengkaryaan dan perekaan.

Ekspresi ialah tindakbalas emosi hasil daripada interaksi atau komunikasi dengan persekitaran, orang lain,masyarakat, peristiwa dan benda. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat memantapkan pengucapan, curahan idea, gambaran pemikiran dan perasaan, menggambar, memberi makna menerusi perkataan, pergerakan, arahan dan symbol. Selain itu ia dapat memberikan kepada individu berkomunikasi idea, perasaan dan emosi.



II) Peranan sosiologi
Peranan SV dalam membentuk dan mengembang budaya setempat dan sejagat ( seni dan masyarakat ). Antara peranan SV :

Nasionalisme - Falsafah,pemikiran, manifestasi, idea, individu atau kumpulan dalam menyebar dan membangkit nilai, semangat dan perasaan melalui SV. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat membangkitkan semangat kebangsaan dan sayangkan Negara.Contoh hasil karya yang memaparkan unsur nasionalisme ialah Tugu Negara (arca) dan juga potret-potret pemimpin negara.

Persekitaran- Kesedaran nilai persekitaran, unsur keselesaan dan keharmonian dalam SV. Pembelajaran SV, aktiviti dan apreasiasinya dapat mengukuhkan kepekaan dan sesitiviti terhadap kepentingan sekeliling yang memberi kesan kepada kehidupan. Antara contohnya Rumah rakit – Kuala Lipis karya Peter Harris dan Waktu Pagi Di Kampung, karya Lai Foog Mooi, reka bentuk lanskap dan hiasan dalaman.
Rumah rakit- Kuala Lipis

Propaganda- SV sebagai saluran untuk menyampaikan dan menyebar idea, hasrat atau kepercayaan, pengaruh dan kuasa. Contohnya Poskad kepada Dunia, karya Awang Damit Ahmad.
Poskad kepada dunia (1990)

Ritual / upacara- SV dalam melaksanakan ritual/upacara sesuatu budaya dan adat resam
dalam aktiviti kehidupan masyarakat. Kebanyakan hasil karya adalah berbentuk 3D atau arca. Contohnya Patung Jah Hut dan Mah Meri, yang menjadi patung penyembahan orang-orang asli di Pahang dan Selangor.

Spiritual – SV untuk ketenangan, kepuasan dan keselesaan. Hasil karya yang dihasilkan adalah untuk kepuasan pelukis dari cetusan dalaman diri pelukis itu sendiri. Contohnya, Semangat Bumi, Air, dan Udara, karya Patrick Ng Kah Onn.

Pengeluaran- Hasil seni SV berasaskan kepada faktor cita rasa, gaya, fungsi dan kegunaan. Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat menghasilkan mutu pengkaryaan dan perekaan yang berkualiti dengan nilai keindahan yang tinggi. Kebanyakan hasil karya berunsur pengeluaran adalah bertujuan dikomersialkan. Contohnya penghasilan batik dan songket.

Pemujukan- Hasil SV berkeupayaan membentuk empati dan tarikan. Contoh-contohnya yang jelas ialah papan billboard dan poster.

Perniagaan dan perdagangan- Pembelajaran SV, aktiviti dan apresiasinya dapat menghasilkan barangan yang sangat berpotensi untuk perniagaan dan perdagangan. Antara contoh yang jelas ialah bidang pembungkusan.

Discovery Learning, Pendekatan Kontruktivis, dan PBL dalam Pendidikan

Discovery learning dapat ditakrifkan sebagai kaedah pembelajaran berasaskan penyelidikan dan penemuan di mana sesuatu perkara itu dikaji dan kemudian dibuat penyelidikan sehingga membawa kepada satu penemuan yang mengesahkan kebenaran sesuatu permasalahan. Dengan kata yang mudah, penyelesaian masalah diatasi melalu pengalaman seseorang individu Sebagai contoh, dalam subjek Pengajian Am yang sentiasa mempunyai perubahan dari semasa ke semasa sememangnya memerlukan penyelidikan agar dapat mengesahkan kebenaran sesuatu fakta yang sering diputar belit.
Seterusnya, pendekatan kontruktivis juga merupakan satu pendekatan yang begitu berkesan dalam pendidikan. Kontruktivis merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Pendekatan ini telah lama digunakan tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.  Kontruktivisme merupakan satu proses aktif di mana manusia boleh belajar semasa mereka belajar, Hal ini bermaksud manusia akan mendapat pelbagai input semasa proses belajar. Kecenderungan kontruktivisme adalah lebih kepada minda di mana minda harus lebih aktif berbanding fizikal. Pendekatan ini juga menekankan bahawa adalah satu aktiviti sosial dan juga kontekstual serta memerlukan masa. Lebih banyak yang dipelajari maka banyak yang akan diperolehi oleh individu tersebut. Walaupun begitu, kontruktivisme memerlukan motivasi sebagai medium penting untuk melaksanakan pendekatan ini.
Problem based learning ini membawa maksud pembelajaran berpusatkan masalah di mana memberikan peluang kepada pelajar untuk menjalankan kajian terhadap sesuatu masalah berdasarkan teori dan amalan dengan melakukan kajian permasalahan tersebut dengan kemahiran dan pengetahuan sedia ada pelajar. Secara umumnya, pembelajaran ini adalah berpusatkan kepada pelajar di mana pelajar sendiri bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Dalam pembelajaran ini, pelajar harus mencapahkan pemikiran mereka dalam melihat sesuatu perkara itu dan kerjasama sesama rakan adalah penting dalam proses pembelajaran ini.

            Project based learning pula merupakan pembelajaran berpusatkan kepada murid. Hal ini menyatakan bahawa proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara sistematik/terancang dalam jangka masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis data dan persediaan satu laporan yang betul.
Pembelajaran ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan. Interaksi antara guru dengan murid yang berupa bimbingan dan perundingan pada setiap tahap proses. Dalam proses ini, guru perlu menjelaskan prosedur pelaksanaan yang lengkap. Proses ini melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan pelaporan hasil juga refleksi kendiri. Dari aspek penilaian, penilaiannya dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah ke tahap hasil yang siap dengan mengintegrasikan pengetahuan dengan aktiviti. Hal ini Sesuai dengan murid dan kurikulum di mana berasaskan kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid.
            Project based learning ini mempunyai kepentingan tertentu iaitu :
·         Mewujudkan komunikasi positif dan perhubungan kolaboratif di kalangan pelajar
yang pelbagai.
·         Menarik minat dan memotivasikan pelajar yang kurang menumpukan perhatian dalam proses P & P.
·         Menolong pelajar dalam memahami dan mengaplikasikan pengetahuan.
·         Menolong pelajar dalam pembelajaran dan menguasai kemahiran menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan pengurusan kendiri.
·         Mengintegrasikan bidang kurikulum, pengajaran bertema dan isu-isu komuniti.
·         Menggalakkan akauntabiliti dan penentuan matlamat.
·         Memenuhi keperluan pelajar yang mempunyai tahap pembelajaran dan gaya pembelajaran yang berbeza.


Setelah melihat kepada semua penerangan di atas, pendekatan kontruktivis sememangnya boleh dan sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek Pengajian Am kerana konstruktivis merupakan proses aktif yang melibatkan minda aktif serta lebih bersosial. Hal ini sesuai dengan subjek Pengajian Am yang perlukan pencapahan minda yang aktif dalam kalangan pelajar yang mengambil subjek ini. Begitu juga dengan pembelajaran berasaskan masalah dan juga pembelajaran berasaskan projek turut memberikan peluang kepada para pelajar untuk mencapahkan minda dalam sesuatu isu yang mereka utarakan dalam setiap pembelajaran. Selain itu, pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka semasa berkomunikasi dengan rakan-rakan. Sistem ini juga membantu pelajar untuk meningkatkan motivasi diri agar rasa lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Dengan hal sedemikian, maka tidak mustahil dapat melahirkan modal insan yang cemerlang suatu hari nanti.

Refleksi :
            Pendekatan kontruktivis, pembelajaran berasaskan masalah dan berasaskan projek merupakan pendekatan yang paling efektif dalam subjek Pengajian Am yang lebih fokus kepada teori berbanding amali. Dalam masa yang sama, pendekatan ini juga harus diselitkan dengan nilai-nilai seni dalam pendidikan seperti seni lakon yang boleh digunakan pelajar untuk membuat demonstrasi seperti persidangan Parlimen.