Sunday, October 31, 2010

SENI DALAM ISLAM

KONSEP SENI


Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala
yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang
lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta
mempunyai fungsi dan nilai sosial.
Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan
itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran
manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan
dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :
a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia
Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh Allah , ia tidak
bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia dengan seni ciptaan Allah.

 SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI

Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah
berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam
memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah
berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus
berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda
sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang
berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan
syara’.

No comments:

Post a Comment